Friday, 27 June 2008

Heliza VS SITI SHAHRIZAH (EJA)

Salah satu sebab leh minat Ija adalah sebab sebelum ni kak Alya minat dengan Eja

SITI SHAHRIZAH (EJA)




Rasanya Ija semasa tak pakai tudung cam Eja agaknya... dan lakonan bersahaja tapi berkesan dari Eja boleh Ija jadikan contoh untuk lakonan Ija... sebab Eja ngan lakonan romantik komedi memang menjadi...selalu buat orang tercenyum cenyum malu.....

1 comment:

Dr Alya Zara said...

Elok je kak Alya citer pasal Eja, kat paper arini ad kisah Eja...tajuknya Misteri Eja...

Hopefully Ija baca artikel ini dan kaji ada part yang bersesuaian ngan Ija juga...

Misteri Eja Oleh WANDA IDRIS

SATU perkara yang tidak akan lupa ditanyakan kepada empunya diri yang satu ini tentunya tentang status diri yang terus menjadi misteri hingga kini. Namun setiap kali juga tiada jawapan yang terkeluar malah sering pula samar-samar. Mungkin ada antara anda yang pernah terserempak dengan dia bersama seorang lelaki.

Saya sendiri sejak mengenalinya 11 tahun lalu sudah beberapa kali bertemu dan menyapa lelaki yang mempunyai senyuman manis yang selalu menemaninya itu.

Dan rasanya dia sendiri juga bukan seorang wanita yang menyembunyikan diri dengan siapa dia bersama. Cuma untuk mengatakan ya atau tidak tentang status sebenar daripada mulutnya, itulah yang paling sukar bagi Eja.

Susah benarkah pemilik nama sebenar Siti Shahrizah Saifuddin ini untuk menjelaskan tentang status diri yang menjadi persoalan dan begitu ingin diketahui peminat setianya dan mengapa pula dia lebih senang bersikap mendiamkan diri?

Itu antara soalan yang saya ajukan kepadanya lewat malam Selasa lalu. Jujur sahaja, kata Eja, bukan tidak mahu berkongsi rahsia bersama peminat mahupun khalayak tetapi itu sahaja hak peribadi yang tinggal menjadi milik mutlaknya kini.

Status seorang selebriti, katanya, memaksa dia untuk memberikan hampir keseluruhan kehidupan kepada umum hingga membuatkan dirinya hampir kehilangan kebebasan sebagai seorang insan biasa.

“Saya tak pernah menyorok atau menafikan. Cuma saya tak bercerita sahaja kepada sesiapa di luar sana sebab ia bukan untuk pengetahuan umum. Dari dulu hingga sekarang dan sampai bila-bila saya tak kan bercerita tentangnya,” tegasnya dalam kelembutan nada. “Seperti saya katakan, sebagai artis, semua mahu tahu mengenai diri saya hatta keluar rumah pun, orang nak tengok apa yang kita pakai. Hanya sedikit hak peribadi yang saya nak simpan untuk diri sendiri.

“Kerana kalau saya memberi ruang kepada mereka bercerita tentang segala-galanya, sama ada baik mahupun buruk, hilanglah istimewanya Eja, juga harga diri dan tidaklah lagi ia menjadi misteri,” tambahnya tersenyum manja.

Biarpun pendiriannya itu adakalanya hanya menimbulkan spekulasi sehingga menyebabkan ramai membuat andaian sendiri, namun Eja tidak kisah mengenainya. Kerana bagi wanita berwajah lembut yang sentiasa hadir di khalayak dengan penuh bergaya ini, orang di luar sana berhak untuk memberi pandangan masing-masing.

Malah biarpun jemu melayan isu-isu berkaitan isu peribadinya yang telah ditanya sejak berkecimpung dalam bidang seni selama 11 tahun ini tetapi wanita tinggi lampai ini tetap melayan pertanyaan saya tentang gambarnya di satu majlis istimewa yang pernah terlepas dan menjadi tontonan?

“Kalau nak kata saya hipokrit, apa sahaja persepsi saya terima. Tapi saya harap semua dapat terima dan hormati hak saya seperti mana saya menghormati hak mereka.

“Perbuatan itu (penyebaran gambar) bukan datang daripada keluarga atau teman rapat. Ia dilakukan oleh orang luar yang tak bertanggungjawab. Saya tertanya-tanya juga apa tujuan orang itu buat begitu? Adakah ia berniat baik atau tidak baik? Sedangkan koleksi peribadi begini sepatutnya menjadi koleksi keluarga dan saudara mara,” jelasnya.

Lalu saya tanyakan pula, mengapa dia menjadi sebegitu berahsia tentang perkara peribadi yang satu ini. Dan kata Eja, ‘setiap yang dirahsiakan mesti ada sebab musababnya.’

Pun begitu, biar adakalanya jelik dengan pertanyaan status diri, kadangkala Eja merasakan bagus juga ada sesuatu perkara yang ingin terus ketahui oleh khalayaknya.

Malah dia merasakan tindakannya terus berahsia tentang perkara itu sesuatu yang betul memandangkan senario yang terjadi dalam industri ketika ini yang begitu seronok melayan isu dan kontroversi artis sehinggakan peminat sudah tidak mahu lagi memandang perkara baik yang dilakukan oleh golongan seni sepertinya.

Bersyukur kerana selama bergelar artis tiada kontroversi yang berlaku tetapi wanita kelahiran Kuala Kubu Bahru, Selangor ini pernah menghangatkan industri dengan isu bulu mata palsunya ketika melakonkan watak seorang banduan yang keluar penjara dalam drama Seputih Qaseh Ramadan yang mendapat sambutan ramai.

“Gosip-gosip biasa, itu hanya usikan wartawan dan peminat. Yang perlu diperbetulkan, saya perbetulkan. Tapi saya amat elakkan kontroversi kerana ia akan diingat sampai ke liang lahat,” kata Eja.

Menyepi selama dua bulan dan kini muncul dengan filem terbarunya, Sepi, Eja mengakui amat bertuah apabila ramai peminat tertanya-tanya tentang dirinya. Kerana bagi dirinya, itu membuktikan bahawa dia terima dalam industri.

“Saya rasa saya pelakon yang serius dan bekerja secara jujur dan ikhlas. Ini periuk nasi saya. Ia satu profesion. Jadi saya tidak kejar glamor atau cari kesempatan untuk mengejar sesuatu.

“Cukuplah dikenali dengan sedikit bakat yang dianugerahi Allah,” ujarnya yang juga kelihatan agak misteri bagi sesetengah orang.

Misterikah wanita berusia 36 tahun yang berbintang Capricon ini? Ketawa sahaja dia apabila mendengar soalan itu. Paling tidak pun dia menjawab ‘tak ada cerita’ apabila ditanya tentang dirinya yang menghilang sejak kebelakangan ini.

Namun dia sebenarnya mengakui bahawa dirinya memang seorang wanita yang misteri dalam dunianya sendiri. Sikap seorang Capricon yang sangat berahsia, berhati-hati dan sukar mempercayai orang.

“Dan jika berkali-kali ditipu, tiada maaf bagimu,” kata Eja dalam tawanya. “Boleh buat baik tetapi tidak terlalu baik kerana tidak mahu ada yang mengambil kesempatan terhadap diri, kerana akhirnya, saya juga yang terluka. Ini bukan sekadar bermadah tetapi saya jadikan pedoman dan memegangnya sebagai satu prinsip hidup,” tegas Eja lagi.

Menjelaskan mengenai kehilangannya dalam industri selama ini, kata Eja, sebenarnya dia hanya mencari ketenangan diri selepas berasa bosan dengan kerjanya.

“Tenangkan hati dan perasaan. Banyak perkara terutama sekali diajukan soalan yang sama mengenai hal peribadi membuatkan saya jadi bosan sebenarnya. Keduanya dalam kerjaya kerana sering mendapat watak yang tak banyak beza,” kata Eja yang amat sinonim dengan watak wanita teraniaya, dirundung malang dan sedih. Watak-watak berat penuh emosi tentunya memberikan tekanan dan apabila sudah terlalu banyak dibawa akan menimbulkan kebosanan.

Justeru, bekas pramugari yang mula dikenali menerusi drama Rahsia Demi Rahsia ini amat mengharapkan tawaran watak yang jelik, aneh, pelik, buruk dan luar biasa akan diterimanya selepas ini. Malah menantikan sebuah skrip yang dapat memberikan kepelbagaian terhadap diri sebagai seorang pelakon.

“Itu sebab berehat sementara. Kalau diikutkan perjalanan kerjaya saya semua tawaran diterima berat, bermain dengan emosi dan meninggalkan kesan kepada penonton. Saya memang menyukainya sebab ia menjadi pengajaran.

“Tapi sebenarnya ia amat memenatkan,” kata Eja yang begitu teringin berkerja di bawah arahan beberapa pengarah antaranya Zarina Abdullah yang merupakan pengarah filem Chermin.

Amat mementingkan kualiti berbanding kualiti, Eja juga mengakui hanya berlakon kurang daripada 40 buah drama dan filem sepanjang 11 tahun kerjayanya dalam bidang lakonan.

Apa yang penting, kata pelakon itu, kemunculannya membawakan sesuatu watak diingati. Justeru, tidak hairanlah jika ada yang mengatakan bahawa Eja seorang yang cerewet.

“Cerewet saya cerewet bertempat. Pelakon mesti buat perancangan dan saya seorang pelakon yang tidak boleh buat kerja di saat akhir.

“Kerana itu apabila saya ditawarkan berlakon, saya perlu mendapat skrip yang penuh. Ingin melihat sama ada ia sesuai atau tidak sebelum saya terima,” katanya yang amat berterima kasih kepada pengarah drama Rahsia Demi Rahsia, Tony Francis Gitom sebagai seorang yang bertanggungjawab memperkenalkan dirinya dalam bidang lakonan.

Juga tidak ketinggalan penulis skrip, Che Li, pengarah drama, Adam Hamid serta Mahmud Ali Bashah yang merupakan rakan-rakannya yang mendorongnya menjadi pelakon. Malah tanpa sekelumit pengalaman, Eja melalui drama Fitrah Khadijah, nukilan Che Li mendapat kepercayaan membawakan watak penting sebelum muncul dengan Rahsia Demi Rahsia memegang watak utama.

Beruntungnya Eja, kerana walaupun tanpa pengalaman dan selalu pula diberikan watak penuh emosi yang berat, dia tidak pernah menjadi seorang pelakon tambahan dalam usaha memperkenalkan dirinya.

“Alhamdulillah dan percaya tak, walaupun pada waktu tengah gawat dan ramai yang tidak ada kerja, rezeki saya pula mencurah sehinggalah hari ini. Saya akui bekerja dengan Tony amat sukar tapi ia pengalaman yang tak kan saya lupakan kerana ia telah menjadikan Eja seorang yang bersungguh-sungguh dalam industri,” kata Eja yang turut popular menerusi program Roda Impian selama empat tahun dan tidak mengambil apa juga tawaran lakonan sepanjang komitmennya selama lima musim rancangan itu yang dikendalikan oleh Halim Othman dan allahyarham Hani Mohsin.

Mendapat bayaran lumayan bagi program yang dianugerahkan sebagai program game show paling lama disiarkan di negara ini oleh Malaysia Book of Records, Eja mengendalikan 760 episodnya.

Malah sehingga hari ini, kata Eja, dia akan terus mengingati pesan Hani Mohsin agar bekerja dengan konsisten tanpa perlu mengejar populariti.

Muncul dengan Sepi yang memulakan tayangannya sejak 26 Jun, Eja yang pernah berlakon dalam lapan filem antaranya Sara dan Anak Mami The Movie juga kini sibuk kembali menjalani penggambaran drama-drama.

Buat masa ini, dia sedang berada di lokasi telemovie Layang-Layang, arahan Osman Ali untuk tayangan Astro selain begitu teruja untuk ke Mekah menjalani penggambaran drama arahan Erma Fatima di sana pada penghujung Julai nanti.

Ketika ini, drama lakonannya, Bulan Bertemu Matahari juga sedang disiarkan setiap khamis pukul 9 malam di RTM, juga arahan Erma Fatima yang mengetengahkan isu perkahwinan adik beradik.

Dilakonkan bersama Aaron Aziz, Ako Mustapha, Lisdawati dan Fahrin Ahmad serta Azizah Mahzan dan Shahruddin Thamby, ia diinspirasikan daripada sebuah kisah benar.

Suka bekerja dengan pengarah wanita kerana akan mengangkat pelakon wanita untuk mendukung cerita, kata Eja, mereka juga lebih sensitif dan memahami kehendak wanita itu sendiri.

Dan bersama Sepi arahan Kabir Bhatia dan skrip oleh Mira Mustaffa dan Ara, kata Eja, dia mendapat kepuasan dan keterujaan kerana berkolaborasi yang bukan sahaja bersama pengarah yang hebat dan berkarisma tetapi juga pasukan teknikal yang mengagumkan.

Selesa bekerja dengan Kabir kerana bagi Eja, dia seorang yang jujur berkarya dan tahu apa yang diingininya, dia juga kagum kerana walaupun bukan orang Malaysia tetapi amat memahami kehendak dan cita rasa penonton negara ini.

Juga bakal muncul dalam filem Malaikat Maut, arahan Bade Haji Azmi dan Janin, sebuah filem seram arahan Mohd. Yoep Hitler, siapa kata penyepian Eja beberapa bulan ini tidak berisi.

Malah siapa menyangka, si wajah lembut dengan penampilan penuh gemalai dan sering dikaitkan suka berwajah cantik sentiasa itu juga mencatat kejayaan peribadi apabila berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu ketika menyertai misi amal membantu mengutip dana RM1 juta untuk membantu anak-anak yatim Sabah, Mount Kinabalu Charity Club 2008 pada 16 hingga 18 Mei lalu.

“Itu pencapaian peribadi terbaik seumur hidup. Tengoklah fizikal saya, mungkin orang kata tak mampu dan berupaya tapi dengan keazaman dan semangat, saya berjaya juga. Bayangkan tanpa latihan, daripada 118 pendaki, saya berjaya menawan puncak bersama 44 yang lain yang turut disertai artis Akademi Fantasia seperti Felix, Yazer dan Ebi.

“Banyak kesusahan dan kesulitan sepanjang perjalanan itu. Ada masanya berada dalam keadaan sedih, marah dan gembira. Tetapi selepas berjaya menakluki puncak, saya percaya, saya mampu atasi segala cabaran dengan cara yang lebih baik kerana mendaki itu telah mengajar saya erti kesusahan di tahap yang lain, tahap paling maksimum,” katanya sambil ketawa.